fb fb fb fb fb

Hampir RM5.5 juta diluluskan bagi 32 projek pembangunan di Pelangai

(Wan Rosdy Wan Ismail)

BENTONG, 19 September- Kerajaan Persekutuan meluluskan hampir RM5.5 juta bagi pelaksanaan 32 projek pembangunan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Peruntukan itu sebagai meneruskan usaha bekas ADUN Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak 18 projek berjumlah RM4.33 juta disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Sementara itu, sebanyak 14 projek berjumlah RM1.14 juta disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Antara projek tersebut adalah kerja-kerja menaik taraf Balairaya Kampung Shafie, Surau Kampung Telemong dan jalan di Kampung Chemomoi. 

Pelaksanaan projek terbabit akan dimulakan secara berperingkat.

"Isnin ini, lebih kurang 1.2 juta kita akan cabut undi (untuk pengagihan projek) dan pejabat daerah akan uruskan. (Cabut undi ini) supaya mempercepatkan proses.

"Mana yang kena proses tender itu, kita tidak boleh abaikan, kita kena ikut prosedur kewangan," katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang 2023 di sini.

Sambutan berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Tourism Pahang, Jabatan Penyiaran Negeri Pahang dan Jabatan Pendidikan Pahang di Felda Chemomoi di sini.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa peruntukan tersebut bukan "gula-gula" pilihan raya, tetapi kerajaan negeri sentiasa membantu rakyat menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP).

(Wan Rosdy Wan Ismail)

Media Baharu