fb fb fb fb fb

Mahasiswa UniMAP sambut Hari Malaysia di Kota Tallin

(Mahasiswa UniMAP menyanyikan lagu Negaraku)

TALLINN, 16 September- Bersempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini, mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) rasa bangga dan teruja apabila masing-masing dapat mempersembahkan tarian Ayam Didik, Silat Tari dan menyanyi lagu Negaraku di  kota Tallinn.

Salah seorang daripada mereka Ang Sian Feng, 23, berkata beliau rasa teruja, dapat menyambut Hari Malaysia di negara Estonia.

"Saya amat berbangga sebab saya dapat meraikan hari malaysia di luar negara iaitu talin estonia dan hati saya masih berkobar- kobar untuk meraikan hari malaysia disini walaupun kita berada diluar negara saya bangga menjadi anak Malaysia,"katanya.

Keterujaan itu turut dikongsi Duane Regen Broster kerana baginya, secara tidak langsung dapat memperkenalkan Malaysia di luar negara.

"Hari Malaysia merupakan penubuhan daripada Persekutuan Tanah Melayu, Persekutuan Sabah dan Persekutuan Sarawak.

"Saya amat berbangga dan seronok walaupun menyambut Hari Malaysia di luar negara tetapi hati tetap di tanah air,"kata Duane.

Estonia merupakan sebuah negara republik yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan mempunyai 15 daerah.

Tallinn merupakan ibu negara bagi negara Baltik itu dan mempunyai 1.3 juta rakyat.

Ia digelar sebagai negara digital dan mempunyai lebih daripada sepuluh syarikat yang berstatus Unicorn iaitu syarikat yang mempunyai pendapatan melebihi USD1 billion. 

Jelajah Ilmu UniMAP ke-17 ke negara Baltik  dari 10 hingga 17  September diketuai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Canselor UniMAP.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang merupakan Pro Canselor UniMAP.

Turut berangkat anakanda baginda berdua Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Hadir sama Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli.


(Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
bersama rombongan UniMAP ke negara Baltik)

Media Baharu