fb fb fb fb fb

Hampir 83,000 tan sisa pepejal dikutip sepanjang musim banjir


HULU LANGAT, 10 Januari- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah mengutip 82,850 tan sisa pepejal di enam negeri yang terjejas akibat banjir baru-baru ini; setakat semalam.

Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Mutallib, jumlah itu melibatkan Selangor dengan pengutipan sisa pepejal tertinggi iaitu sebanyak 48,589 tan, diikuti Pahang (32,000 tan), Negeri Sembilan (1,400 tan), Kuala Lumpur (630 tan), Melaka (131 tan) manakala proses pengutipan di Johor mencecah hampir 100 tan.

"Dijangkakan sebanyak 600 unit peralatan elektrik terdiri daripada mesin basuh dan peti sejuk akan dibaikpulih daripada dilupuskan, sekali gus dapat mengelakkan anggaran nilai kerugian hampir RM1 juta," jelasnya dalam program SWCorp Bersamamu di Taman Sri Nanding,Hulu Langat hari ini.

"Program ini bermula hari ini hingga 16 Januari dan mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS)," katanya lagi.

Seramai 150 sukarelawan terlibat pada program hari ini, dengan dibahagikan kepada 30 kumpulan terdiri daripada empat hingga lima sukarelawan.

Ini bagi membolehkan capaian lebih besar dapat dilaksanakan dan sasaran sebanyak 300 rumah di Taman Sri Nanding akan dapat menerima manfaat menerusi program berkenaan.

Media Baharu