fb fb fb fb fb

APMM tahan lima nelayan termasuk seorang warga asing di perairan Kuala Kedah

KUALA KEDAH, 10 Januari - Lima nelayan termasuk seorang warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah atas pelbagai kesalahan.

Kesemua mereka berusia 41 hingga 46 tahun ditahan di kedudukan 2.6 batu nautika barat muara Kuala Kedah, petang semalam.

Turut dirampas sebuah bot nelayan kelas A.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, hasil pemeriksaan mendapati mereka menggunakan peralatan menangkap ikan yang salah iaitu sangkar besi.

"Mereka didapati telah melakukan dua kesalahan iaitu pertama kerana memiliki peralatan sangkar besi yang tidak dilesenkan ketika di laut manakala bagi kesalahan individu warga asing itu pula, dia tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di negara kita", katanya kepada RTM.

Tekong, kru dan bot ditahan dan diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat bawah Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Media Baharu