fb fb fb fb fb

Syarikat automatif digesa cepatkan proses baik pulih - MAA


KUALA LUMPUR, 10 Januari- Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memohon agar ahlinya memberikan sokongan penuh kepada pelaksanaan inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia.

Presidennya, Datuk Aishah Ahmad turut menggesa ahli persatuan itu agar mempercepat proses pembaikan dan meringankan beban pemilik kenderaan yang terjejas akibat banjir.

"Mangsa sudah mengalami kerugian besar dan memerlukan apa sahaja bantuan untuk mengurangkan penderitaan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aishah berkata, MAA memuji usaha kerajaan dalam memperkenalkan Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia yang bertujuan membantu mangsa banjir.

"Ini bagi memastikan semua pihak berkepentingan memahami peranan dan tanggungjawab mereka, dan bekerja sebagai satu pasukan bersama dalam satu keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia untuk membantu mangsa dengan segera.

"Ia juga selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan bantuan holistik kepada semua yang terjejas akibat bencana banjir supaya mereka dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Perodua memberi komitmen untuk memastikan kenderaan yang dihantar ke pusat servis dibaiki secepat mungkin.

Setakat hari ini, sebanyak 1,987 unit kenderaan Perodua telah ditunda ke 200 pusat servis di seluruh negara untuk penilaian, 323 unit daripadanya telah dibaik pulih.

Perodua turut menyediakan sebuah hab di Shah Alam untuk tujuan membaiki dan memulihkan kenderaan yang mengalami kerosakan akibat banjir.

Di bawah Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia, baucar diskaun sehingga RM1,000 untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian akan diberikan oleh kerajaan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir besar.

Sementara itu, syarikat ahli MAA yang mengambil bahagian akan menawarkan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus ke atas jumlah kos kerja pembaikan (termasuk alat ganti dan caj buruh) serta perkhidmatan tunda percuma ke pusat servis sah terdekat untuk kenderaan yang terjejas banjir.

Aishah berkata, MAA telah diberi jaminan oleh syarikat ahli yang mengambil bahagian bahawa pusat servis yang diberi kuasa akan berusaha untuk mempercepatkan proses pembaikan kenderaan yang terjejas.

"Beberapa syarikat ahli MAA yang mengambil bahagian seperti Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dan Proton Holdings Bhd (PROTON) telah mengesahkan bahawa mereka sanggup meningkatkan diskaun sehingga 50 peratus ke atas kos alat ganti.

"MAA gembira kerana ramai ahli kami secara sukarela melangkah ke hadapan untuk melaksanakan peranan mereka, bukan sahaja sebagai aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tetapi juga atas sebab kemanusiaan.

"MAA berharap bantuan yang diberikan dapat meringankan beban dan penderitaan semua mangsa banjir yang terjejas," katanya.

Media Baharu