BATU BERENDAM, 18 April- Hampir 500 lesen nelayan telah dibatalkan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh 2017 hingga kini di seluruh Melaka.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, antara faktor pembatalan lesen terbabit termasuk tidak aktif turun ke laut selain menyewakannya kepada orang lain.
Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius kegiatan tersebut dan Jabatan Perikanan Negeri sentiasa memantau kegiatan berkenaan.
"Kita memang memandang serius berkenaan lesen yang telah disalahguna kita memang minta semua penguatkuasa kita untuk memantau mana-mana lesen yang telah dilesenkan kepada individu itu perlu digunapakai oleh individu tersebut dan tidak boleh dijual atau disewa kepada orang lain.
"Sekiranya perkara ini berlaku saya tidak teragak-agak kerajaan Melaka dan juga Jabatan Perikanan juga tidak akan teragak-agak untuk menarik semula lesen tersebut," katanya selepas menyampaikan bayaran insentif sara hidup sekali bayar kepada nelayan negeri itu di Pejabat Perikanan Daerah di Batu Berendam.
Akmal berkata, lesen nelayan ini terhad dan pihaknya akan memberikan kepada mereka yang benar-benar layak sekali gus menerima bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan melalui lesen terbabit.
(Foto hiasan)