BAYAN LEPAS, 14 Februari- Restoran nasi kandar tertua di Malaysia, Nasi Kandar Hameediyah bakal tersenarai sebagai restoran nasi kandar pertama di Pulau Pinang menawarkan menu rahmah.
Terpanggil untuk menyantuni golongan B40 dan berpendapatan rendah, Nasi Kandar Hameediyah akan menawarkan menu rahmah bernilai RM5 menjelang Mac ini.
Hidangannya terdiri daripada sepinggan nasi dengan sayur dan ikan atau ayam serta minuman ais manis.
"Boleh insya-Allah kita amat galakkan dengan faktor ekonomi dan juga keadaan rakyat susah, semua pengusaha patut mengambil tanggungjawab atas perkara ini.
"Kita kena buat kita letak (harga) RM5 sebab saya rasa dengan ekonomi sekarang semua orang patut dibantu. Dua atau tiga bulan pun jadi, insya-Allah," kata Muhammad Salim Ahmed Seeni Pakir, Pengurus Restoran Hameediyah kepada pemberita selepas majlis perasmian memperkenalkan menu rahmah kepada media.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Pulau Pinang, S. Jegan.
Menurut S. Jegan, setakat ini, terdapat 19 pengusaha kedai nasi campur yang sudah menyatakan hasrat menawarkan menu rahmah di premis perniagaan masing-masing.
Beliau berharap, lebih ramai pengusaha nasi kandar akan mengorak langkah selaras dengan konsep Malaysia Madani yang akan menyantuni golongan yang perlu pembelaan.
Terdahulu, S. Jegan menyertai Ops Suri di Pasar Basah Bayan Bayu untuk memberi kesedaran kepada peniaga agar isu kenaikan harga tidak dijadikan alasan untuk mengambil kesempatan, sebaliknya mematuhi perundangan yang ditetapkan.
(Hameediyah, restoran nasi kandar pertama di Pulau Pinang tawar menu rahmah)