fb fb fb fb fb

Hajiji dipilih sebagai Presiden Gagasan Rakyat

(FOTO FAIL)

KOTA KINABALU, 5 Februari - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor secara rasmi menjadi Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Ia susulan Mesyuarat Agung Khas parti itu hari ini.

Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah berkata dengan langkah ini semua ahli kini mempunyai wadah politik yang 100 peratus tempatan untuk meneruskan perjuangan mereka kepada rakyat dan negeri.

Jelasnya, dua ciri utama Gagasan Rakyat yang menjadi faktor penarik ialah parti berbilang kaum yang membawa citra inklusiviti dan parti suara anak Sabah yang mengangkat citra perjuangan tempatan.

Selain itu, beliau berkata agenda Gagasan Rakyat juga selari dengan perjuangan GRS.


(Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor secara rasmi menjadi Presiden Parti Gagasan
Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)/ Foto BERNAMA)

"Kita memilih dan memutuskan bahawa formula tempatan berupaya melonjakkan agenda perjuangan dan kepentingan negeri dalam Persekutuan Malaysia. Kita mahu pelaksanaan sistem federalisme yang lebih bernilai dan bermakna, berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," kata beliau kepada media selepas mesyuarat tersebut, di sini hari ini.

Hajiji berkata beliau akan menerangkan dengan lebih terperinci hala tuju Gagasan Rakyat sempena pelancaran parti itu pada 2 Mac ini, selain bakal menubuhkan struktur organisasi parti di semua 73 DUN termasuk pembentukan sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis.

Media Baharu