fb fb fb fb fb

Had laju jalan persekutuan dikurangkan 10km/j sempena Tahun Baharu Cina

(FOTO HIASAN)

DENGKIL, 17 Januari- Had laju di jalan persekutuan seluruh negara dikurangkan 10 kilometer sejam (km/j) bersempena perayaan Tahun Baharu Cina, bermula pukul 12.01 tengah malam ini hingga 27 Januari.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, had laju jalan persekutuan diturunkan daripada 90 km/j kepada 80 km/j sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, langkah itu diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku di musim perayaan.

“Ini merupakan antara langkah keselamatan dan pemantauan diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang sering berlaku pada musim perayaan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2023, di sini.

Dijangkakan sebanyak 3.8 juta kenderaan berada di atas lebuh raya di seluruh negara sepanjang cuti perayaan Tahun Baharu Cina bermula hujung minggu ini.

Operasi tahunan bertemakan 'Pandu Cermat, Sampai Selamat' itu merupakan jalinan kolaborasi strategik kali pertama antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan (MoT).

Nanta berkata pihaknya telah mengenal pasti 76 lokasi kerap berlaku kemalangan di jalan persekutuan dan akan terus memantau lokasi berkenaan.

Bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna di jalan persekutuan, beliau berkata kerajaan telah melaksanakan kerja pembaikan di 53 lokasi kerap berlaku kemalangan (blackspots) melibatkan kos sebanyak RM17.2 juta dan memasang lampu jalan di 40 lokasi dengan kos sebanyak RM4.7 juta pada tahun lepas melalui program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya.

(Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi)

Sementara itu,beliau turut mengambil maklum rungutan pengguna lebuhraya mengenai isu lorong teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

"Ia bukan dibuat sewenang-wenangnya dan sesuka hati kerana ia berdasarkan kajian dan jumlah trafik yang akan menggunakan lorong berkenaan.

Sebelum ini, Nanta memsklumkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menambah sebanyak 12 lorong RFID selewat-lewatnya pertengahan April ini bagi keselesaan pengguna.

Katanya, ia dipersetujui selepas pertemuan diadakan bersama wakil dari Kumpulan Touch 'n Go Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS Malaysia susulan isu kesesakan di plaza tol yang menggunakan RFID.

Media Baharu