fb fb fb fb fb

Kerajaan kaji perkhidmatan guaman bagi tingkatkan mutu untuk manfaat rakyat

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),
Datuk Seri Azalina Othman Said)

KUALA LUMPUR, 17 Januari- Kerajaan akan mengkaji semula perkhidmatan guaman yang disediakan menerusi Jabatan Bantuan Guaman dan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan akses kepada keadilan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Akta Bantuan Guaman 1971 pula akan dipinda sekiranya perlu.

Katanya, pihaknya turut mengambil kira untuk mendapatkan bantuan guaman daripada peguam swasta bagi kes-kes tertentu.

Azalina berkata, perkhidmatan guaman adalah komponen yang penting untuk menegakkan keadilan.

Bagaimanapun, katanya bukan setiap rakyat negara ini dapat menanggung kos guaman.

"Kita tak boleh meletakkan semua beban kepada Jabatan Bantuan Guaman, …saya ingin melihat kepada struktur di mana sesetengah kes boleh 'outsource' (diberikan) kepada peguam luar.

"Perkara itu perlu kita kaji dengan mendalam dan sekiranya perlu, Akta Bantuan Guaman 1971 akan dipinda," katanya pada Bengkel Reformasi Institusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Refomasi Institusi) bersama Kementerian/Jabatan dan CSO/NGO Tahun 2023 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini.

Sementara itu, Azalina, berkata sebarang perubahan undang-undang yang dilakukan kerajaan sama ada meminda atau memansuhkan sesuatu akta mahupun hukuman, perlu mengambil kira kepentingan dan memberi manfaat kepada rakyat.

(Orang awam mendapatkan khidmat nasihat guaman yang dikendali Jabatan Bantuan
Guaman/FOTO FB Jabatan Bantuan Guaman)

Sebarang pindaan bagi mengubah polisi juga perlu berteraskan rakyat dan dinilai secara adil antaranya membabitkan isu pengasingan kuasa Peguam Negara dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

"Antara isu utama bagi kerajaan hari ini adalah melihat kepada isu kesesakan dalam penjara dan moratorium hukuman mati.

"Perkara itu semua adalah keutamaan tertinggi dan akan dilaksanakan secara berperingkat," katanya.

Media Baharu