fb fb fb fb fb

Guru sambut baik Peruntukan Deeming, tingkat keselamatan digital pelajar

Foto hiasan/ RTM

KOTA KINABALU, 19 Disember - Para guru menyambut baik pelaksanaan Peruntukan Deeming bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bermula 1 Januari 2026.

Langkah itu dilihat mampu memperkukuh aspek keselamatan pengguna, khususnya murid sekolah, selain memberikan perlindungan lebih menyeluruh daripada ancaman buli siber, penyebaran kandungan tidak sesuai serta pengaruh negatif di alam maya.

Pengetua Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu Suhaibul Kassim berkata, pendekatan itu amat tepat, terutama dalam aspek keselamatan pengguna dan perlindungan kanak-kanak.

"Kewujudan garis panduan yang jelas akan memudahkan penguatkuasaan di peringkat sekolah dan wajar dipandang dari sudut positif oleh warga pendidikan," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Seorang lagi guru, Norsinah Ombi berpandangan langkah berkenaan berpotensi meningkatkan keselamatan murid.

"Saya berpandangan langkah ini mampu meningkatkan tahap keselamatan murid, khususnya daripada pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, buli siber serta pengaruh negatif, sekiranya ia dilaksanakan dengan berkesan" katanya.

Sementara itu, Eric Constantine menegaskan dasar tersebut perlu disokong dengan program literasi digital untuk murid, latihan kesedaran kepada guru serta penglibatan ibu bapa sebagai rakan strategik.

"Kerjasama semua pihak bukan sahaja dapat melindungi murid, malah membentuk warga sekolah yang celik digital, beretika dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran dunia siber pada masa hadapan," katanya.

Secara keseluruhan, para pendidik melihat pendaftaran secara automatik kepada semua penyedia perkhidmatan internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia yang akan disifatkan berdaftar sebagai pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kelas (ASP(C)) bermula tahun depan itu sebagai langkah proaktif ke arah mewujudkan persekitaran pembelajaran digital lebih selamat dan bertanggungjawab.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI