fb fb fb fb fb

Lebih 15,000 penduduk terjejas banjir di empat negeri berlindung di PPS

Jalan utama yang menghubungkan Pekan–Kuantan ditenggelami air banjir susulan hujan berterusan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Disember - Seramai 15,358 penduduk terjejas banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan setakat pagi ini, susulan situasi banjir yang masih belum pulih sepenuhnya di beberapa kawasan.

Di Pahang, keadaan banjir terus menunjukkan peningkatan apabila 13,472 orang daripada 4,437 keluarga kini berlindung di 81 PPS, berbanding 10,956 orang daripada 3,635 keluarga di 78 PPS yang direkodkan petang semalam.

Menurut Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi dengan kira-kira 11,123 orang di 46 PPS, diikuti Maran yang menempatkan 912 orang di 11 PPS, Rompin (454 orang di lapan PPS), Pekan (926 orang di 11 PPS), Jerantut (52 orang di empat PPS) serta Lipis yang merekodkan lima orang di satu PPS.

Sementara itu, di Terengganu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah penduduk terjejas meningkat kepada 1,344 orang daripada 366 keluarga setakat jam 8.00 pagi, berbanding 902 orang daripada 248 keluarga pada petang sebelumnya.

Daerah Kemaman merekodkan jumlah tertinggi dengan 637 orang daripada 171 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS, diikuti Dungun melibatkan 247 orang daripada 72 keluarga di dua PPS, manakala Hulu Terengganu mencatatkan 18 orang daripada lima keluarga di sebuah PPS.

Dalam perkembangan berkaitan, laman publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air sungai di tujuh stesen di Terengganu melepasi tahap waspada, iaitu Sungai Cherol di Jambatan Ban Ho, Sungai Besut di Jambatan Keruak, Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Sungai Kemaman di Rumah Pam Paman, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Sungai Nerus (F1) di Kampung Bukit serta Sungai Tersat (F1) di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.

Di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Mersing memaklumkan jumlah penduduk terjejas banjir kekal 356 orang daripada 93 keluarga setakat pukul 10.00 pagi, yang kini ditempatkan di tiga PPS di daerah itu.

PPS berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Air Tawar yang menempatkan 148 orang daripada 36 keluarga, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Ching dengan 139 orang daripada 44 keluarga, serta SK Labong yang menempatkan 69 orang daripada 13 keluarga.

Selain itu, 10 lembangan sungai di seluruh Johor masih menunjukkan bacaan bahaya sehingga pagi tadi.

Di Kelantan, Infobencana JKM memaklumkan empat PPS dibuka melibatkan 186 orang daripada 49 keluarga di dua daerah.

Di Gua Musang, satu PPS menempatkan 148 orang daripada 35 keluarga, manakala di Kuala Krai, seramai 38 orang daripada 14 keluarga kini berlindung di tiga PPS yang disediakan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI