fb fb fb fb fb

Guru besar maut dalam nahas jalan raya

Kenderaan mangsa terbakar 80 peratus akibat kemalangan itu. - Foto Pengguna media sosial

KUANTAN, 30 Julai - Seorang guru besar maut dalam nahas jalan raya selepas kereta yang dipandu hilang kawalan sebelum terbabas di jalan utama berhampiran Sekolah Kebangsaan Guai di Bera. 

Ketua Polis Daerah Bera Superintenden Zulkiflee Nazir dalam satu kenyataan berkata, dalam insiden pada kira-kira 6.30 petang semalam, Mohd Sabri Bakar, 59, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Durian Hijau di Jerantut dan beralamat di Temerloh, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian Mohd Sabri dalam perjalanan ke rumah abangnya di Kampung Guai dan semasa tiba di lokasi kemalangan, mangsa dipercayai telah hilang kawalan serta terbabas ke bahu jalan.

“Mangsa telah dikeluarkan orang awam daripada kereta terbabit sebelum kenderaannya terbakar  80 peratus akibat kemalangan itu,” katanya.

Dalam kes berasingan, Zulkiflee berkata, seorang lelaki warga emas maut dipercayai dihempap pokok ketika menunggang motosikal di Kilometer 34, Jalan Kuala Bera-Chenor dan pihaknya menerima maklumat mengenai insiden yang menimpa Kamar Seman, 65, pada 7 malam.

Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar Hospital Bera untuk bedah siasat. - BERNAMA

KHAIRUL AMRI BIN YASIN