fb fb fb fb fb

Guna logo halal tidak sah, KPDN Perak sita 208 unit produk makanan ringan

Foto KPDN Perak

TAIPING, 22 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 208 unit produk makanan ringan yang menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan.

Pemeriksaan dilakukan penguat kuasa di sebuah premis di Kawasan Perusahaan Ringan Tupai, Taiping kira-kira pukul 2.30 petang, pada Khamis.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata pihaknya mendapati sijil pengesahan halal yang dikeluarkan premis tersebut telah tamat tempoh pada 2008 dan masih digunakan pada paket pembungkusan.

Jelasnya, kesemua barangan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,533 dan rampasan turut melibatkan label produk dan beberapa dokumen berkaitan.

Kes disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Peraturan (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan melanggar Peraturan 4 (1)(a) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500,000 bagi pertubuhan perbadanan dan bagi kesalahan kedua tidak melebihi RM1 juta.

Sekiranya pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM