JOHOR BAHRU, 22 Mac- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menahan seorang pengurus besar dan seorang pengurus penghasilan sebuah kilang di Pasir Gudang, Johor Bahru pada pukul 5.00 petang Khamis, dipercayai menyebabkan pencemaran di Sungai Tukang Batu.
Pengarah JAS Johor, Mohd Famey Yusoff berkata pencemaran dikesan pada 18 Mac lalu, selepas pihaknya menerima aduan awam berkenaan pencemaran Sungai Tukang Batu.
Siasatan terhadap premis berasaskan oleo kimia itu mendapati, terdapat pelepasan efluen perindustrian berwarna putih melalui saliran longkang awam yang mengalir ke Sungai Tukang Batu.
Siasatan susulan pada keesokannya mendapati efluen putih dan berbuih masih berada di sungai tersebut.
Pihaknya juga menerima aduan awam berkenaan pelepasan air berwarna hitam di lokasi sama, pada Khamis.
Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (efluen perindustrian) 2009.