fb fb fb fb fb

JIM Johor serbu 12 rumah kongsi, 137 PATI ditahan

Foto JIM Johor

JOHOR BAHRU, 22 Mac- Cubaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melarikan diri serta menyorok di bawah lantai rumah bagi mengelak diperiksa Jabatan Imigresen (JIM), gagal apabila masing-masing ditemukan dalam serbuan awal pagi tadi.

Pengarah Imigresen negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata operasi di kawasan penempatan pekerja asing di Johor Bahru itu, berjaya menahan 137 PATI yang dipercayai tinggal lebih masa serta tiada permit sah.

Menerusi aduan orang awam, tahanan melibatkan 98 warga Indonesia, Bangladesh (19), lelaki Pakistan (2), Myanmar (16) dan Vietnam (2).

Kesemua PATI berusia antara 18 hingga 55 tahun.

"Seramai 110 anggota terlibat dalam operasi membabitkan pemeriksaan ke atas 12 rumah kongsi itu.

"Melihat kepada keadaan bangunan ini, kebanyakan dalam operasi ini mereka bersembunyi di bawah lantai, sebab memang hampir mustahillah untuk di atas bumbung atau di siling sebab melihat bangunan ini tiada siling.

"Bantuan pencahayaan yang baik membantu kita menahan PATI yang bersembunyi," katanya kepada pemberita di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)( c) Akta Imigresen 1959/63.
 
Seorang lelaki Indonesia ditahan mengikut Seksyen 56(1)(I) akta sama, selepas didapati menggunakan pas lawatan sosial palsu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM