fb fb fb fb fb

Guna kedudukan strategik, capai matlamat rundingan tarif AS - Pakar

Timbalan Pengarah Eksekutif Pembangunan, Penyelidikan & Inovasi, Institut Asia-Eropah (AEI), Universiti Malaya, Profesor Dr. Kevin Fernandez berkata demikian secara eksklusif kepada Berita RTM, hari ini

KUALA LUMPUR, 21 Mei- Malaysia perlu memanfaat kedudukannya yang strategiknya dalam usaha rundingan tarif perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Timbalan Pengarah Eksekutif Pembangunan, Penyelidikan & Inovasi, Institut Asia-Eropah (AEI), Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Kevin Fernandez, ia merupakan langkah penting bagi memastikan kelangsungan eksport negara dan kestabilan ekonomi dalam menghadapi ketegangan kuasa besar antara AS dan China.

Usaha yang diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilihat berada pada landasan tepat dalam memastikan hubungan dan kerjasama Malaysia dengan rakan dagang kedua terbesar negara, AS kekal terjalin.

"Rundingan ini sangat penting kerana Amerika Syarikat menyumbang 14% daripada jumlah eksport Malaysia pada tahun 2024, bernilai sekitar RM199 bilion. Kegagalan mengekalkan hubungan ini boleh memberi kesan besar kepada industri strategik kita termasuk semikonduktor, minyak sawit, perabot, dan juga sektor perhotelan serta makanan," ujar Dr. Kevin.

Dr. Kevin turut menjelaskan, persaingan geopolitik antara AS dan China kini mencorakkan pelbagai dasar luar serta ekonomi di rantau Asia Tenggara.

Inisiatif seperti Indo-Pasifik Strategy oleh AS, Global Gateway oleh Kesatuan Eropah dan Belt and Road Initiative oleh China menunjukkan kuasa-kuasa besar sedang berusaha mengukuhkan pengaruh mereka.

Justeru, Malaysia bersama ASEAN dilihat sebagai blok yang mempunyai kepentingan strategik yang tinggi.

Malaysia perlu lebih aktif dalam memanfaat kelebihan geopolitiknya bagi menarik pelaburan dan mempertingkat perdagangan.

"Industri semikonduktor kita boleh dijadikan aset strategik untuk mengekalkan akses dagangan dengan AS, selain menarik pelaburan baharu. Malaysia juga menawarkan kestabilan politik dan ekonomi yang konsisten, menjadikannya antara destinasi pelaburan terbaik di ASEAN selepas Singapura dan Filipina," tambahnya.

Mengulas dasar luar negara, Dr. Kevin memuji pendekatan berkecuali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menyebelahi mana-mana kuasa besar, sebaliknya membuka pintu diplomasi dengan semua pihak termasuk AS, China, Rusia dan negara-negara Asia Barat.

"Apa yang Perdana Menteri lakukan sangat selari dengan semangat Persidangan Bandung, iaitu memperjuangkan dasar berkecuali dan bersahabat dengan semua negara. Ini memberi kelebihan besar kepada Malaysia untuk menjadi jambatan dagangan dan diplomatik di tengah-tengah persaingan global," jelasnya.

Dr. Kevin juga menyentuh tentang pentingnya Malaysia terus terlibat aktif dalam perjanjian ekonomi serantau seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), serta perjanjian dua hala seperti SEPA dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Perdana Menteri dan kabinetnya, melalui kerjasama dengan Pusat Penyelarasan Geo-Ekonomi Kebangsaan, dilihat sangat komited dalam meletakkan Malaysia sebagai pemain penting dalam ekonomi global dan serantau,"katanya.

Malaysia kini berada pada titik genting dalam menentukan arah masa depan ekonominya di tengah-tengah cabaran geopolitik dunia.

Rundingan tarif bersama AS bukan hanya isu perdagangan, tetapi sebahagian daripada strategi besar negara dalam memastikan daya tahan ekonomi dan kemakmuran jangka panjang.

Pendekatan pragmatik, berkecuali dan terbuka yang diambil oleh kepimpinan negara dilihat sebagai formula terbaik dalam menghadapi ketidaktentuan global.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM