SINGAPURA, 21 Mei - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang menyediakan insentif bersasar bertujuan merancakkan lagi pertumbuhan industri semikonduktor tempatan.
Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pengumuman mengenainya pada Julai depan bersempena dengan ulang tahun pertama pelancaran Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Beliau berkata demikian dalam ucap tama pada program rantaian bekalan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Singapura.
Katanya libat urus yang diadakan dengan pihak industri mendapati, peserta mahukan lebih banyak sokongan fiskal untuk memperteguh ekosistem serta rangka kerja dasar yang sesuai.
MITI jelasnya akan terus bekerjasama rapat dengan pemain industri semikonduktor ketika kementerian mengemudi perubahan dalam industri di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik.
Pada tahun lepas sektor semikonduktor Malaysia menyumbang kira-kira 575 bilion ringgit kepada eksport elektronik negara.