SHAH ALAM, 5 Januari- Gudang memproses dan menyimpan racun tikus milik sebuah syarikat pengeluar minyak sawit di Bestari Jaya, Kuala Selangor musnah 80 peratus dalam kebakaran awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata laporan diterima mengenai kejadian itu pada 4.14 pagi.
Beliau berkata operasi bagi mengawal kebakaran gudang dengan anggaran keluasan 17 x 4 meter persegi tersebut melibatkan 40 anggota dan pegawai bersama tujuh jentera bomba.
"Kesemua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, Kuala Selangor, Batu Arang, Kapar, Klang Utara, Rawang dan Sungai Besar," katanya.
Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Ahmad Mukhlis berkata kebakaran berjaya dikawal pada 5.39 pagi dengan operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 10.30 pagi.