fb fb fb fb fb

Gred maksimum guru besar, penolong kanan sekolah rendah ditingkatkan ke DG54

(Datuk Seri Ismail Sabri ketika  berucap dalam Perhimpunan Khas Perdana
Menteri bersama Warga Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan)

KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Gred maksimum guru besar dan guru penolong kanan sekolah rendah ditingkatkan sehingga DG54.

Guru besar Gred DG48 (khas untuk penyandang) juga tidak akan diturunkan jawatan kepada guru penolong kanan atau guru biasa di sekolah rendah apabila dinaikkan ke Gred DG52 dan DG54 secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBK).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata
peningkatan gred jawatan ini akan memberi faedah secara langsung kepada seramai 2,047 pegawai perkhidmatan pendidikan di seluruh negara.

"Pelaksanaan ini akan menaik taraf gred hakiki bagi jawatan guru besar dan guru penolong kanan serta membolehkan mereka yang telah dinaikkan pangkat ke gred lebih tinggi, kekal di jawatan tersebut sehingga gred DG54.

"KPM juga sedang mengkaji struktur perjawatan guru besar dan guru penolong kanan sekolah rendah melalui cadangan model sekolah dengan penetapan gred fleksi sehingga DG54 bagi memastikan kedudukan pentadbir sekolah sentiasa terpelihara, di samping mengekalkan keharmonian dalam kalangan warga sekolah," kata Ismail Sabri ketika berucap dalam Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama Warga Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini.

Tambah beliau, pegawai perkhidmatan pendidikan Gred DG48 turut diberi peluang dilantik sebagai guru penolong kanan di Sekolah Rendah.

Jawatan itu tidak terhad kepada Gred DG44.

Dalam masa sama laluan kerjaya guru cemerlang di sekolah rendah diperluas sehingga Gred DG52 dan DG54.

Ini memandangkan 90.68% guru sekolah rendah telah pun berada di Gred Siswazah.

(Datuk Seri Ismail Sabri hadir pada Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama
warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia/BERNAMA)

 

Media Baharu