fb fb fb fb fb

Penarafan keselamatan udara Malaysia dinaikkan semula kepada Kategori 1

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Penarafan keselamatan udara Malaysia yang sebelum ini diturunkan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat, telah dikembalikan kepada Kategori 1 selepas kesemua 33 isu berbangkit berjaya diselesaikan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berjaya menyelesaikan 29 daripada isu berkenaan menerusi penilaian kedua FAA pada Disember tahun lepas, iaitu hanya dalam tempoh enam bulan.

"Ini merupakan satu pencapaian yang singkat dan bagi pihak kementerian saya ucap tahniah kepada pasukan kita khususnya dalam CAAM yang telah tungkus-lumus capai matlamat kita idamkan.

"Ini hadiah buat keluarga Malaysia, tahniah dan syabas kepada CAAM," kata Dr Wee dalam sidang media yang diadakan secara dalam talian.

(Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ditemui dalam sidang media yang diadakan secara dalam
talian)

Dr Wee kini dalam rangka lawatan rasmi ke ibu pejabat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di Montreal, Kanada.

Penarafan keselamatan udara Kategori 1 bermakna pihak berkuasa penerbangan awam Malaysia mematuhi piawaian keselamatan ICAO.

Pada November 2019, penarafan Malaysia diturunkan kepada Kategori 2 yang bermaksud sama ada tidak mempunyai undang-undang atau peraturan minimum yang diperlukan untuk mengawasi syarikat penerbangan mengikut piawaian antarabangsa.

Atau pihak berkuasa penerbangan awam kekurangan dalam satu atau lebih aspek seperti kepakaran teknikal, kakitangan terlatih, rekod atau prosedur penyimpanan atau pemeriksaan.

Media Baharu