LANGKAWI, 27 Oktober- Graff for Nation menggabungkan seramai 36 pelukis grafiti tempatan dan antarabangsa dalam menterjemah karya sastera moden dalam bentuk karya seni baharu.
Program kali kedua anjuran Balai Seni Negara bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu dilihat sebagai inisiatif dalam memperkenalkan karya seni visual yang dihasilkan.
Ketua Pengarah Lembaga Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad berkata, program itu berupaya menghidupkan ruang ke arah yang lebih menarik dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan masyarakat.
"Kami rasa program ini akan menjadi menarik dengan disertai pelbagai golongan peringkat umur. Ia juga dilihat akan memberi ruang untuk bertukar-tukar idea dalam menterjemah karya seni.
"Kami memilih sastera moden yang mengetengahkan warisan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Jadi lebih daripada 20 karya sastera daripada seniman, sasterawan negara diterjemahkan menerusi grafiti dalam program ini," katanya kepada pemberita di sini.
Turut terlibat dalam program itu ialah artis graffiti dari sarawak, Dewi Emilia Iskandar (Miyo) juga merupakan salah seorang wanita tunggal yang mengambil bahagian sempena Graff For Nation.
"Ia bergantung kepada apa yang anda lakukan berdasarkan minat. Grafiti bukan untuk semua orang.
"Kali ini Balai Seni Negara memberikan peluang untuk kami mengetengahkan seni ini untuk diterima masyarakat. Sekarang pun kita boleh lohat lebih ramai pelukis grafiti di dalam dan luar negara," katanya.
Sementara itu pelukis grafiti dari Turkiye Ali Tufan Ulbegi memaklumkan karya seni itu kurang mendapat perhatian berbanding aktiviti seni jalanan yang lain.
"Seperti yang saya katakan terdapat banyak acara yang memfokuskan kepada seni mural jalanan, tetapi tidak memberi perhatian kepada grafiti. Namun, acara seperti ini sangat penting untuk membantu golongan muda memahami apa itu grafiti. Ia merupakan sesuatu yang unik dengan cara anda sendiri," katanya.
Program Graff for Nation 2024 dirasmikan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara Prof Madya Dr Jalaini Abu Hassan di Hospital Lama Kuah, di sini.
Turut hadir Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad dan ketua-ketua agensi Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dan ketua-ketua agensi kerajaan negeri Kedah.