fb fb fb fb fb

Graduan OKU cemerlang, buktikan kekurangan diri bukan penghalang

BANGI, 28 November- Kekurangan diri bukan penghalang untuk meraih kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

Ini dibuktikan tiga graduan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berjaya memperoleh ijazah sarjana pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-50, di sini.

Bagi mereka, kekurangan itu tidak sedikit pun mencacatkan kesungguhan dan semangat untuk lebih cemerlang dalam bidang yang diimpikan.

Penerima ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan, OKU penglihatan (terhad) dan masalah pertuturan, Wan Abdul Hasib Wan Arif menjadikan harapan ibu bapanya sebagai inspirasi untuk berjaya.

"Mak ayah nak melihat saya berjaya jadi saya buat untuk banggakan mereka dan saya tengok OKU lain pun banyak yang berjaya.

"Pada saya kesungguhan yang diperlukan dalam semua ini, buat yang terbaik," katanya kepada media, di sini hari ini.

Seorang lagi OKU penglihatan terhad, Mohamad Hafizzudin Mohd Fadeli yang menerima ijazah Sarjana Sains Bioteknologi Tumbuhan menganggap kekurangan diri sebagai kelebihan dan cabaran itu menjadikannya lebih kuat dan positif.

"Apa jua masalah dalam hidup ini tidak kira siapa, semua ada masalah masing masing.

"Dalam kehidupan ini kita jalan terus sahaja, ada masalah kita berhenti kita rawat luka dan kita teruskan perjalanan, mesti ada jalan keluar kita susun balik, cari jalan lain," jelasnya.

Begitu juga semangat positif yang dipamerkan penerima Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Nur Ashikeen Iqbal yang merupakan OKU fizikal (berkerusi roda).

"Saya berharap ramai lagi akan memenuhi cita-cita mereka, jangan berhenti belajar kerana kita tidak pernah tua untuk belajar dan bila bila masa kita boleh mula. Saya sentiasa berfikiran positif dan yakin dengan diri," kata Nur Ashikeen.

Mohamad Hafizzudin (kiri), Nur Ashikeen dan Wan Abdul Hasib (kanan)

Pada majlis itu, seramai 67 orang pelajar kohort pertama Program Sarjana Muda Sains Citra turut bergraduasi, merupakan program pertama ditawarkan di Malaysia bersifat struktur kurikulum yang fleksibel dan rentas disiplin.

Konvokesyen Ke-50 itu mempunyai 11 sidang dan akan berlangsung selama enam hari bermula 26 November hingga 1 Disember 2022.

Seramai 7,961 graduan bakal menerima ijazah.

Media Baharu