(Tangkap layar FB Majoriti)
PARIT BUNTAR, 28 November- Tiga daripada empat suspek yang menyamun dan menetak pemborong sayur di Pasar Awam Parit Buntar, di sini, semalam, berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan berkata, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan selepas suspek cuba melibaskan pedang dan merempuh anggota dengan kereta.
"Pada pukul 4.00 petang semalam, anggota yang melakukan rondaan rutin terserempak dengan sebuah Proton Waja dalam keadaan mencurigakan. Anggota kemudian ternampak tiga lelaki bersenjatakan pedang dan parang melulu masuk ke dalam kereta itu menyebabkan polis cuba menahan suspek.
"Suspek yang terkejut ketika itu telah bertindak melibas pedang ke arah pasukan polis dan cuba melarikan diri dengan melanggar pihak polis yang berada di hadapan motokar. Tiga suspek berjaya diberkas, manakala seorang lagi suspek telah berjaya melarikan diri," katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, identiti suspek yang melarikan diri sudah dikenal pasti dan usaha memburunya giat dijakankan.
"Suspek yang melarikan diri dikenali sebagai P Manimaran dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Zulhilmi Dahon di talian 013-2604403 atau balai polis berhampiran," katanya.
Mohd Yusri menambah, suspek yang ditahan berusia 47 hingga 63 tahun dan kesemuanya mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.
"Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan morphine," katanya.
Terdahulu, kumpulan terbabit melakukan rompakan terhadap seorang pemborong sayur di pasar itu.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 51 tahun ditetak di pergelangan tangan kanan.
Suspek melarikan seutas rantai leher yang dipakai dan kerugian dianggarkan sejumlah RM15,000.
Mangsa mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan.
(Siaran Media Polis Perak)