fb fb fb fb fb

Kes baharu COVID-19 turun

KUALA LUMPUR, 28 November - Kes baharu COVID-19 di negara ini berkurangan 2.5 peratus kepada 18,606 kes pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2022) iaitu dari 20 hingga 26 November, berbanding 19,083 kes pada ME sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes tempatan berkurangan sebanyak 2.6 peratus daripada 19,068 kes (ME 46/2022) kepada 18,581 kes manakala kes import meningkat 66.7 peratus iaitu 15 kes kepada 25 kes.

Katanya bagi kes sembuh pada minggu sama, angkanya berkurangan 19 peratus (23,089 kes kepada 18,699 kes) manakala kes kematian meningkat sebanyak 17 peratus daripada 47 kes kepada 55 kes.

“Purata kes aktif setiap hari bagi ME 47/2022 berkurangan 2.8 peratus (27,806 kes kepada 27,020 kes) berbanding ME 46/2022,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya secara kumulatif, 4,984,272 kes baharu COVID-19 dicatatkan sejak ME 4/2020 iaitu 25 Jan 2020 hingga ME 47/2022 (16 November 2022), sementara kes sembuh yang direkodkan bagi tempoh sama adalah sebanyak 4,920,983 kes serta 36,648 kematian direkodkan.

(FOTO HIASAN)

Mengenai kemasukan pesakit ke hospital dan Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk, Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhannya meningkat 5.1 peratus.

Beliau berkata jumlah kemasukan ke hospital awam bagi kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala) meningkat 3.4 peratus, manakala bagi kategori tiga (mempunyai radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu alat bantuan pernafasan) pula meningkat 4.1 peratus.

Media Baharu