fb fb fb fb fb

Graduan ijazah kelas pertama bermula 2019 dikecualikan bayaran balik PTPTN

KUALA LUMPUR, 27 Julai- Pelajar yang membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dianugerahkan ijazah bermula 2019 serta mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama akan dikecualikan daripada bayaran balik.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN.

"Saya berharap PTPTN dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan perkara ini dari segi peruntukan yang terlibat.

"Ia sebagai dorongan kepada anak-anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka".

Tambah beliau pengecualian tersebut akan diberikan tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama.

Pengecualian bayaran balik merupakan simbolik dorongan kepada anak-anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian.

Sementara itu beliau turut memuji komitmen PTPTN kerana telah memberikan tumpuan kepada aspek penabungan dalam kerjasama strategik.

Setakat ini seramai 3.67 juta pelajar telah dibantu bagi meneruskan pengajian dengan keseluruhan pinjaman berjumlah RM66.87 bilion.

Sehingga Jun lalu, lebih dua juta atau 82.04 peratus peminjam telah membayar balik pinjaman dengan jumlah kutipan sebanyak RM17.8 bilion.

 


(Perdana Menteri berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN)

Media Baharu