fb fb fb fb fb

Google diminta siasat e-mel ugutan video ahli politik

Datuk Fahmi memaklumkan kelengkapan digital forensik juga diperkukuh untuk siasatan. - Foto BERNAMA.

NIBONG TEBAL, 14 September - Syarikat Google diarah menyiasat e-mel ugutan video lucah membabitkan beberapa ahli politik, yang dipercayai dihantar oleh individu sama.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata penerimaan e-mel berkenaan dijangka meningkat dari semasa ke semasa dan tidak hanya tertumpu kepada wakil rakyat kerajaan.

“Malah, saya sendiri baru beberapa jam yang lalu tahu ada e-mel sama dihantar dua hari sudah. Ayatnya sama, gambarnya lebih kurang sama. Jadi, ini kemungkinan dihantar oleh individu sama. Kita akan minta pihak Google membantu menyiasat pihak yang menerbitkan dan menghantar e-mel tersebut, dan kita nantikan maklum balas daripada Google,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Bakti @ Komuniti Madani Kampung Sungai Acheh di Jeti Haji Ibrahim, Nibong Tebal.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen), Julina Johan.

Menurut Datuk Fahmi, kelengkapan digital forensik juga perlu diperkukuh, bagi membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan bahan-bahan yang berkemungkinan dihasilkan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Beliau turut mendedahkan dirinya antara mangsa bersama lapan lagi wakil rakyat, termasuk Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan.

TUN JULIA MOHD TAHIR