fb fb fb fb fb

AGC terima laporan penuh siasatan kes Ismail Sabri pada 12 Sept. 2025

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 September - Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan telah menerima laporan penuh siasatan berhubung sejumlah wang tunai yang disita pada 20 Februari 2025 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Politik beliau Datuk Anuar Mohd Yunus.

AGC menerusi kenyataan memaklumkan laporan itu telah diterima pada 12 September 2025.

“Tindakan pelucuthakan harta kepada Kerajaan Malaysia tanpa pendakwaan terhadap wang tunai itu telah diambil oleh pihak SPRM, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa", menurut kenyataan itu.

Jabatan tersebut menegaskan siasatan dan proses pelucuthakan harta dan pertuduhan jenayah adalah dua aspek yang berbeza.

"Sehubungan itu, walaupun tindakan pelucuthakan harta telah dimulakan SPRM, jabatan ini akan meneliti secara menyeluruh laporan penuh siasatan itu,” menurut kenyataan itu.

Menurut AGC, proses penelitian laporan penuh siasatan itu akan dibuat daripada pelbagai sudut termasuk aspek keterangan dan elemen-elemen pembuktian kes sebelum sebarang keputusan berhubung pendakwaan jenayah dapat dibuat.

"Sebarang keputusan berkaitan kes ini akan dimaklumkan setelah proses penelitian laporan penuh siasatan tersebut selesai.

“Jabatan ini kekal komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat secara bebas, telus dan selaras dengan peruntukan undang-undang", katanya.

ROSLINA BINTI DIN