BUTTERWORTH, 14 September- Perkhidmatan jalur lebar di kesemua 73 kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seluruh negara akan dipercepatkan pelaksanaannya menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, walaupun jadual asal yang dikemukakan pihak kontraktor bagi pemasangan gentian optik di bawah program Fibre To The Home (FTTH) ditetapkan sekitar Mei 2027, kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memastikan proses itu dapat disiapkan lebih awal.
Tambahnya, usaha itu memastikan warga ATM di seluruh negara menikmati perkhidmatan jalur lebar yang lebih berkualiti dengan harga lebih rendah.
"Berdasarkan arahan saya kepada MCMC, kita perlu memberi keutamaan kepada beberapa kem tentera, termasuk Pangkalan Udara Butterworth dan Pangkalan Udara Subang.
Projek ini akan disiapkan lebih awal, dan saya dimaklumkan bahawa bagi Pangkalan Udara Butterworth ia dijangka siap pada Januari 2026," kata Datuk Fahmi kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas mengadakan Tinjauan Projek Rumah Kerajaan Angkatan Tentera di TUDM, di sini.
Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM99 juta bagi pelaksanaan program JENDELA bersama Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Jelas Datuk Fahmi, usaha itu akan menyediakan perkhidmatan internet dengan kos lebih rendah iaitu RM49 sebulan bagi kelajuan 100 Mbps, sekali gus meningkatkan akses capaian digital lebih pantas dan mampu milik kepada warga ATM di seluruh negara.