GEORGE TOWN, 14 September - Tiada keperluan untuk memansuhkan matrikulasi kerana sistem ini dan prauniversiti iaitu Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diiktiraf serta memenuhi merit kemasukan ke universiti awam (UA).
Menteri Pendidikan (KPM), Fadhlina Sidek berkata, kedua-dua program tersebut terbukti bermanfaat kepada pelajar sebagai saluran untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.
"Saya juga mengikuti debat dan perbincangan ini, cuma saya ingin nasihatkan supaya perbincangan ini tidak keterlaluan.
"Seperti mana yang saya sebut tadi bahawa STPM dan Matrikulasi telah berada dalam sistem pendidikan kita begitu lama dan kedua-duanya ada keistimewaan masing-masing, memenuhi merit untuk masuk ke universiti awam, dalam masa yang sama kita beri komitmen untuk tambahbaik berdasarkan cadangan-cadangan yang kita terima dari semasa ke semasa", katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kongres Prauniversiti Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Beliau mengulas cadangan Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) yang mahukan program Matrikulasi dimansuhkan.
KPM juga katanya telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan program tingkatan enam termasuk memartabatkan serta memperkasakan aspek kepimpinan pelajar melalui pelaksanaan pilihan raya pelajar baru-baru ini.