(Anwar Ibrahim (kanan) bersama Habib Umar Bin Hafiz (kiri) dalam
Muzakarah Ulama-Umara di Shah Alam)
SHAH ALAM, 25 Mei- Golongan ulama diseru agar berani membuat teguran terhadap kerajaan demi mengangkat martabat umat dan negara, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas beliau, pihak kerajaan sedia mendengar teguran ikhlas golongan berkenaan dan menyakini kerajaan kini berada pada landasan yang baik selaras cita-cita Balad Madani, selain menyifatkan tekad dan keberanian merupakan aspek penting dalam melaksana perubahan ke arah kebaikan.
"Ulama-ulama harus bicara dengan berani dan menegur dengan ikhlas. Insya-Allah kita (kerajaan) mendengar. Ada hal-hal yang kadang kita setuju tetapi tidak dilaksanakan segera kerana keterbatasan di negara kita serta tahap kefahaman umat.
"Jadi kadang-kadang apa yang kita bicarakan itu ditafsirkan berbeda dan bukan kerana satu Uslub dan Ittijahat (kaedah dan aliran) dalam politik ini. Saya yakin InsyaAllah kita di landasan yang baik dan kita boleh angkat martabat umat (Islam) dan negara ini sesuai dengan cita-cita Balad (negara) Madani,” katanya dalam ucaptama Muzakarah Ulama-Umara di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari.
Muzakarah Ulama-Umara dianjurkan bagi menghimpunkan para pemimpin negara dan ulama dalam sebuah pertemuan.
Istimewa pada majlis itu, dua tokoh ulama tersohor dunia iaitu Al-Imam Al-Allamah Profesor Dr Ali Jum’ah dari Mesir dan Habib Umar Bin Hafiz dari Yaman turut bersama pada muzakarah berkenaan.
(Anwar Ibrahim (tengah) bersama Habib Umar Bin Hafiz (kiri) dan
Al-Imam Al-Allamah Profesor Dr Ali Jum’ah (kanan) dalam
Muzakarah Ulama-Umara di Shah Alam)