fb fb fb fb fb

Golongan pekerja pemangkin utama cipta negara hebat - PM

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Mei - Golongan pekerja adalah pemangkin utama dalam mencipta sebuah negara yang hebat dan berdaya saing.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap individu yang bekerja — sama ada di kilang, jabatan kerajaan, klinik, sekolah, balai polis atau mana-mana sektor — memainkan peranan penting dalam menggerakkan perubahan, seterusnya mencatat kejayaan negara.

“Negara ini masih berdepan pelbagai cabaran. Hari-hari kita dihadapkan dengan isu besar seperti krisis di Palestin dan ketidaktentuan global, termasuk tindakan sesuka hati kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

“Namun, kita tetap mampu mara jika semua bekerja dengan tekun, ikhlas dan penuh iltizam. Tidak kira sektor mana, pekerja yang berpegang kepada nilai keikhlasan dan kepercayaan kepada negara pasti menyumbang kepada pembentukan negara yang hebat,”

Perdana Menteri berkata demikian dalam amanat khas pada sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Majlis dihadiri lebih 10,000 peserta terdiri daripada Kesatuan Sekerja, Badan Berkanun dan Wakil Majikan.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut menegaskan pemerkasaan kebajikan pekerja tidak ambil kira warna kulit dan latar belakang kaum.

Ia meliputi kesemua pekerja di negara ini.

"Hari ini kita bincang soal pekerja, membela nasib pekerja. Tapi apa kita kira? Anak Cina, atau anak India, atau Dayak, atau Kadazan. Kita tidak fikir begitu. Kita fikir nasib pekerja, kesatuan pekerja, semangat pekerja mengangkat martabat pekerja keseluruhannya."

Jelasnya keharmonian di negara ini menjadi pemangkin kemajuan dan pembangunan.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI