KANGAR, 24 Oktober- Golongan muda hari ini perlu diberikan pendedahan dengan bidang kemahiran, peralatan dan bimbingan untuk menjadi inovator masa hadapan.
Usaha ini secara tidak langsung dapat melahirkan anak muda yang mampu belajar, dilengkapi kemahiran dan dapat menyesuaikan diri dengan inovasi teknologi yang terkini.
Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, syarikat berkonsepkan pemula kini telah berubah ke arah perniagaan yang lebih dinamik, produktif dah dilengkapi dengan teknologi perniagaan yang terkini.
Sekiranya syarikat-syarikat ini diuruskan dengan kadar efektif dan efisien yang lebih tinggi di setiap bahagian pengurusan sesuatu perniagaan, ia bukan sahaja menguntungkan pemilik perniagaan malah menyumbang kepada mutu penghasilan produk atau servis dan juga dapat meningkatkan kepuasan pelanggan.
Demikian titah baginda ketika mengadakan lawatan ke pusat operasi Steel Technica di Kampung Padang Behor, Kangar, iaitu perusahaan pembuatan Pisau dan Parang yang dibuat khas untuk memenuhi keperluan dengan prestasi yang konsisten melalui kaedah buatan tangan dan kaedah metalurgi teknikal.
Sementara itu, bagi pemiliknya, Shaikh Ahmad Haikal Shaikh Rohmat, selain pembuatan pisau dan parang, Steel Technica juga menyediakan servis untuk mengasah parang dan alatan penyembelihan yang mendapat sambutan dan permintaan yang tinggi terutamanya ketika musim Hari Raya Aidiladha setiap tahun.