fb fb fb fb fb

GISBH: Tahanan reman 24 individu disambung empat hari

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 25 September- Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan penahanan 24 individu termasuk pemimpin kanan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) selama empat hari iaitu hingga 28 September ini bagi membantu siasatan.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali mengeluarkan perintah itu selepas tempoh tahanan reman tujuh hari terhadap kesemua individu, yang diwakili peguam Rosli Kamarudin, tamat hari ini.

Terdahulu, kesemua suspek yang berusia lingkungan 25 hingga 65 tahun dibawa ke mahkamah secara berasingan pada 9.20 pagi dengan dikawal ketat anggota serta pegawai Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Gerakan Am.

Khamis lepas, 19 individu dikaitkan dengan GISBH ditahan di empat unit kondominium di Jalan Imbi, Bukit Bintang pada 5.40 pagi manakala lima lagi termasuk individu dipercayai anak pemimpin utama syarikat itu ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada kira-kira 6 petang 18 Sept.

Kes disiasat mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Sementara itu, Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman menolak permohonan bebas dengan bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah terhadap 22 wanita yang dipercayai ahli GISBH.

Difahamkan mereka kemudian dibawa ke Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.-BERNAMA

 

Trainee2