fb fb fb fb fb

GISBH: 98 permohonan tuntut kanak-kanak dari pusat perlindungan JKM

Datuk Seri Nancy ditemui pemberita selepas Program Toleransi Sifar Keganasan@Advokasi Antigangguan Seksual KPWKM 2024 di UNITEN, Serdang

SERDANG, 17 Oktober - Terdapat 98 permohonan menuntut kanak-kanak yang berada di bawah perlindungan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata permohonan melibatkan lebih 200 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

"Semalam 96 permohonan dalam proses untuk dikemukakan kepada mahkamah bagi memberi kebenaran tuntutan. Terdapat pertambahan lagi dua tuntutan permohonan, malam kelmarin. Bagaimanapun, proses ini perlu melalui Kementerian Kesihatan. Pihak saya mengharapkan agar kanak-kanak ini dapat dikeluarkan segera," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Toleransi Sifar Keganasan@Advokasi Antigangguan Seksual KPWKM 2024 di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Serdang, hari ini.

Setakat kelmarin, 560 kanak-kanak iaitu 283 lelaki dan 277 perempuan yang ditahan dalam Op Global ditempatkan di pusat perlindungan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah jagaan sementara daripada mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jelasnya, matlamat akhir bagi penempatan dan penjagaan kanak-kanak terlibat adalah kembali ke pangkuan keluarga.

Namun, sebelum perkara tersebut dapat dilaksanakan, pelbagai aspek perlu dinilai dan dipertimbangkan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak terlibat.

Susulan daripada kes yang tular di media sosial berkaitan satu rakaman pertemuan pelindung kanak-kanak dengan ibu atau bapa kanak-kanak yang dikaitkan dengan Op Global, KPWKM memandang serius kes terbabit.

Pihak JKM sedang melakukan siasatan dalaman terperinci bagi memastikan tindakan sewajarnya boleh diambil.

JKM juga mengaktifkan talian khas bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan kanak-kanak Op Global ini menerusi 03-8323 2190 dan 03-8323 2191.

Trainee