PUTRAJAYA, 30 Ogos- Perpaduan penting dalam mempertahankan kemerdekaan negara seterusnya bagi menggilap Malaysia sebagai sebuah negara hebat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat itu boleh dicapai kerana Malaysia mempunyai limpahan pekerja yang boleh diangkat sebagai pakar teknologi dan profesional yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
"Cita-cita dan harapan kita agar negara ini harus bersatu dan merangka ekonomi Madani yang mampan serta jaminan keadilan untuk semua rakyat negara yang pelbagai kaum dan agama.
"Ia tidak mudah diurus, setiap hal akan menimbulkan kesangsian dan sensitiviti", kata Anwar.
Mari kita manfaatkan waktu yang ada di sisa-sisa hidup kita ini untuk berbuat bakti kepada diri, keluarga dan masyarakat kita.
"Yakinlah negara ini bukan biasa. negara ini punya hasil mahsul yang hebat melimpah ruah",katanya demikian pada amanat pertama Hari Kebangsaan di hadapan lebih 7,000 hadirin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.
Menurut Anwar, bagi memastikan Malaysia maju, semua lapisan rakyat perlu berjiwa merdeka dengan tidak menjadi perkakas dan dieksploitasi golongan elit untuk mengaut keuntungan peribadi.
Katanya kerajaan memberi jaminan, hak setiap rakyat termasuk perkara termaktub dalam Perlembagaan seperti keistimewaan Bumiputera serta Islam sebagai agama Persekutuan terus dipertahan.
Turut hadir pada program berkenaan, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri-menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan, wakil penduduk dan pelajar sekolah.
(FOTO HIASAN/FOTO RTM)