fb fb fb fb fb

GiatMARA latih pelajar TVET untuk keperluan industri

Foto RTM

ARAU, 12 Jun- Penganjuran Hari Kerjaya GiatMARA, platform penting kepada pelatih dan bekas pelatih GiatMARA merebut peluang pekerjaan sebagai tenaga mahir berkemahiran tinggi.

Hasil kerjasama erat antara GiatMARA Perlis dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menarik minat sembilan syarikat ternama untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada 130 pelatih dan bekas pelatih GiatMARA.

Menurut Pengarah GiatMARA Negeri, Harun Radzi, bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional kini menjadi pilihan khususnya di kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan peluang kerjaya yang luas serta mendapat permintaan tinggi dalam industri.

Penyediaan pelbagai kemudahan terkini mampu melahirkan tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri dan inisiatif kerjasama bersama industri dilaksanakan bagi memastikan GiatMARA Perlis dapat mencapai 100 peratus kebolehpasaran pekerjaan.

“Program ini membuktikan bahawa GiatMARA bukan sahaja bertanggungjawab melatih para pelatih menjadi tenaga mahir, tapi juga bertanggungjawab untuk menentukan para pelatih yang tamat memasuki alam pekerjaan dengan bantuan daripada aktiviti-aktiviti macam ini. Sebab apa, selain mementingkan jumlah pengambilan pelatih, kita juga mementingkan kebolehpasaran pelatih” tegas Harun pada Program Hari Kerjaya GiatMARA Perlis di Dewan GiatMARA di sini.

Sehingga kini terdapat 11 kursus disediakan di GiatMARA Arau, Kangar dan Padang Besar, antaranya pendawaian elektrik, teknologi automotif, penyejukbekuan dan penyaman udara, masakan dan pramusaji serta baik pulih telefon pintar.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD