LANGKAWI, 4 Julai -Elemen geopark diperkenal di peringkat sekolah bagi memudahkan pelajar untuk memahami dan menerimanya.
Modul yang dikenali sebagai "Geopark To School' itu merupakan inisiatif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi.
Modul Geopark tersebut telah bermula sejak 10 bulan yang lalu dan dilengkapi dalam dwibahasa dan digunakan semasa aktiviti ko-kurikulum.
Selain itu modul berkenaan turut diterjemah ke dalam bentuk ilustrasi yang mampu menarik minat pelajar untuk mempelajarinya.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA bahagian Perancangan dan Pembangunan, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin, modul tersebut mampu memberi maklumat asas berkaitan Geopark selain berguna buat para pelancong.
"Dengan adanya modul ini di semua sekolah, guru dan para pelajar mendapat maklumat berkaitan Geopark secara seragam.
"Maklumat ini menjadi mesej yang boleh disampaikan kepada pelancong", katanya kepada pemberita sempena Majlis Pelancaran Geopark To School di Sekolah Kebangsaan (SK) Kilim di sini.
Dalam pada itu, Guru Besar SK Kilim, Noor Ismawati Ismail menyambut baik modul Geopark yang diguna pakai di semua sekolah di pulau pelancongan itu.
"Pada pandangan saya dengan adanya modul sebegini, ia akan memudahkan para guru bagi memperkenalkan Geopark kepada murid-murid", katanya ketika ditemui pemberita.
(Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA bahagian Perancangan dan Pembangunan,
Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin)