KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempengerusikan rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja disifatkan sebagai pencapaian besar dalam mengangkat imej Malaysia sebagai negara yang berpegang teguh kepada prinsip undang-undang antarabangsa serta memainkan peranan aktif dalam diplomasi serantau.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Dr. Farhatul Mustamirrah Mahamad Aziz, Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mempunyai tanggungjawab untuk tidak mencampuri urusan dalaman negara-negara berdaulat, namun pada masa sama turut memikul tanggungjawab moral untuk menyokong penyelesaian konflik secara aman dan berperanan sebagai fasilitator berkecuali.
"Kita tertakluk bawah Artikel 2(4) Piagam PBB yang melarang sebarang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap mana-mana entiti berdaulat.
"Dalam konteks ini, ia melibatkan Thailand dan Kemboja. Oleh itu, Malaysia perlu mengimbangi hasrat untuk membantu menyelesaikan konflik tersebut tanpa mencampuri urusan dalaman negara-negara berkenaan," katanya ketika dihubungi RTM.
Dr. Farhatul menegaskan bahawa rundingan yang berjaya dipengerusikan Perdana Menteri baru-baru ini mencerminkan keupayaan Malaysia dalam mencapai keseimbangan antara prinsip non-interference yang menjadi teras ASEAN dengan pendekatan diplomatik yang sah dan teratur mengikut kerangka undang-undang antarabangsa.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melaksanakan tanggungjawab Malaysia selaku Pengerusi ASEAN secara penggiliran tahun ini dengan menyediakan ruang rundingan antara Thailand dan Kemboja, bagi mencapai kata sepakat berhubung gencatan senjata tanpa syarat," jelasnya lagi.
Kaedah rundingan dan penglibatan pihak berkecuali adalah sebahagian daripada pendekatan pengurusan konflik (conflict management) yang dibenarkan dalam undang-undang antarabangsa dan berpotensi digunakan dalam menangani isu lain di rantau ini seperti konflik di Myanmar atau Laut China Selatan.
Keberhasilan Malaysia dalam membantu memeterai gencatan senjata bukan sahaja memperkukuh reputasi sebagai pendamai serantau, tetapi turut membuktikan bahawa ASEAN, bawah kepemimpinan Malaysia, masih relevan dan mampu memainkan peranan penting dalam menstabilkan geopolitik serantau.
Langkah diplomatik itu memberi isyarat jelas bahawa Malaysia bersedia menerajui pendekatan damai yang berpaksikan undang-undang dan diplomasi dalam menghadapi cabaran serantau yang kian kompleks.