fb fb fb fb fb

Eksesais TAMING SARI, KERISMAS usaha tingkat siap siaga pertahanan maritim

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin/ BERNAMA

KOTA KINABALU, 29 Julai - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini melaksanakan Eksesais TAMING SARI 23/25 dan Eksesais KERISMAS 28/25 dalam usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan pertahanan maritim negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, eksesais bermula di Pangkalan TLDM Lumut dan berakhir di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, merangkumi kawasan Zon Maritim Malaysia di Laut China Selatan.

Eksesais itu bagi menguji, menilai serta menambah baik prosedur, pelan dan doktrin selain menambah baik dan melatih tahap kompetensi Armada TLDM khususnya dalam menangani ancaman maritim secara konvensional.

"Jadi pada setiap masa perlu dinilai, diuji aset-aset ini untuk menjaga keselamatan negara. Ada ketikanya aset-aset ini juga diperlukan untuk menjayakan latihan-latihan dengan negara-negara lain.

"Apabila ada latihan peringkat ASEAN ia membolehkan negara untuk turut serta dalam aktiviti itu. Sekiranya tidak mempunyai aset yang bersedia ia akan memberi kita halangan untuk menyertainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menyaksikan eksesais itu di sini hari ini.

Sebanyak 17 buah kapal, dua pesawat dan tiga helikopter milik TUDM terlibat eksesais bermula sejak 8 Julai lalu, yang akan berakhir Khamis ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI