JAKARTA, 29 Julai -Malaysia dan Indonesia bersetuju memperhebat kerjasama melalui kerangka Perjanjian Kerjasama Trilateral bagi memelihara ketenteraman Laut Sulu dan Laut Sulawesi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara sepakat untuk menghormati garis persempadanan yang ditentukan berdasarkan perundangan antarabangsa dan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
Katanya pada masa sama, menjaga kepentingan kedua-dua negara.
"Jadi kita sama-sama menjaga kepentingan masing-masing dan menghormati kaedah persempadanan yang ditentukan hukum antarabangsa. Jadi kita maju dengan semangat itu supaya tidak ada ketegangan.
"Tetapi sementara itu kita beri laluan supaya jangan terganggu kepentingan nelayan, kepentingan dagang dan kedudukan penduduk sekitarnya" katanya dalam sidang media bersama media Malaysia di akhir lawatan kerja beliau ke Indonesia di Sekretariat ASEAN, di sini.