fb fb fb fb fb

Bekalan makanan dan perubatan, bantuan awal Malaysia ke Syria

(Penyelamat Malaysia mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan bangunan di Nurdagi,
Turkiye pada 9 Februari 2023/AFP)

PUTRAJAYA, 14 Februari- Bekalan makanan merangkumi pek makanan sedia dimakan, pek makanan ringan dan susu formula, bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan termasuk kit bantuan kecemasan antara keperluan asas yang kritikal dan amat diperlukan oleh mangsa gempa bumi di Syria ketika ini.

Jenis bantuan itu dikenal pasti hasil perbincangan bersama Kementerian Luar Negeri dengan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Syria di Kuala Lumpur semalam.

Kerajaan juga telah mengarahkan satu Pasukan Peninjau Khas ke Damsyik yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri dan disertai wakil dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan wakil Persatuan Bulan Sabit Merah serta MERCY Malaysia.

"Lawatan Pasukan Peninjau Khas amat penting bagi mendapatkan gambaran dan membuat penilaian di lapangan mengenai bentuk bantuan kemanusiaan yang diperlukan, serta membina jaringan komunikasi dengan pihak berkuasa Syria dalam menilai laluan yang selamat untuk misi penghantaran bantuan," menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, rakyat Malaysia yang ingin menyumbang kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria boleh berbuat demikian melalui Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) menerusi akaun bank, Affin Islamic Bank Berhad (1054 9000 0599).

Sumbangan yang dibuat adalah layak untuk mendapatkan pengecualian cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

"Bagi tujuan rekod dan pengeluaran resit, sila nyatakan butiran sumbangan anda melalui pautan https://tinyurl.com/yck9tnen. Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh dimajukan kepada pihak Sekretariat TBKLN (Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.)," katanya.

Rakyat Malaysia di Turkiye, Syria dan negara-negara berdekatan juga dinasihatkan agar terus mengambil langkah berwaspada.

"Mengambil kira kemungkinan berlaku gegaran susulan, rakyat Malaysia yang kini berada di Turkiye, Syria dan di negara-negara berdekatan dinasihatkan agar untuk terus mengambil langkah berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini serta mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dari masa ke semasa," katanya.

(Penyelamat Malaysia di kawasan runtuhan bangunan di Nurdagi,
Turkiye pada 9 Februari 2023/AFP)

Media Baharu