PUTRAJAYA, 22 September – Kementerian Komunikasi (KK) menegaskan bahawa garis panduan terbaru Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) hanya menetapkan kod dan etika pemakaian bagi artis yang membuat persembahan, dan bukan kepada penonton konsert.
Penjelasan itu dibuat berikutan laporan akhbar The Star bertajuk “New directive sets dress, conduct rules for concert” yang diterbitkan pada 21 September lalu.
“GPP 6.0 tidak menetapkan kod pakaian penonton.
"Kenyataan yang dikeluarkan adalah berbentuk saranan dan nasihat melalui kerjasama dengan pihak penganjur konsert,” menurut JK-PUSPAL dalam satu kenyataan hari ini.
JK-PUSPAL turut memaklumkan fokus utama garis panduan ialah memastikan etika pemakaian dan tingkah laku artis yang sesuai dengan sensitiviti masyarakat majmuk Malaysia demi memelihara keharmonian negara.
“Walaupun garis panduan memberi tumpuan kepada penganjur dan artis, ia secara tidak langsung boleh meliputi pengunjung melalui kewajipan penganjur", jelas kenyataan itu lagi.
Selain itu, JK-PUSPAL turut menasihati penganjur supaya memastikan kawalan keselamatan pengunjung, termasuk tindakan pencegahan membabitkan aktiviti minuman keras dan dadah sebelum, semasa dan selepas konsert, bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Maklumat lanjut mengenai Garis Panduan PUSPAL (GPP 6.0) boleh dirujuk melalui laman web rasmi di portalpuspal.komunikasi.gov.my atau menghubungi Unit PUSPAL di talian 03-89115356/5384.