KUALA LUMPUR, 22 September - Malaysia perlu tegas dan konsisten menyatakan sokongan terhadap Palestin dengan menyalurkan pendirian itu melalui usaha diplomasi dan solidariti rakyat bersama-sama kepimpinan negara.
Pempengaruh, Farah Lee dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah tersebut seiring dengan kesinambungan komitmen kerajaan yang sejak dulu teguh membela Palestin untuk mempunyai hak wujud sebagai negara merdeka dan berdaulat.
Farah yang turut menyertai misi konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) berkata, gelombang solidariti terhadap Palestin semakin meluas apabila lebih 2,000 artis di United Kingdom (UK) menandatangani seruan gencatan senjata dan menamatkan sekatan di Gaza melalui inisiatif 'Artists for Palestine UK' manakala pelakon tersohor Sepanyol, Javier Bardem turut menggunakan pentas global bagi mengecam kekejaman terhadap rakyat Palestin.
"Solidariti ini membuktikan suara seni dan budaya mampu menjadi senjata ampuh untuk membuka mata dunia dan mengetuk hati nurani manusia sejagat.
"Saya menggesa rakan selebriti, pempengaruh dan tokoh masyarakat di Malaysia untuk tidak ketinggalan dalam arus solidariti global ini.
"Suara anda sangat berharga, setiap perkongsian, setiap kata dan setiap tanda sokongan adalah cahaya yang mampu menguatkan semangat Palestin untuk terus bertahan.
"Palestin tidak hanya perlukan tangan yang menghulur, tetapi hati yang tidak pernah berhenti peduli. Setiap kali nama Palestin disebut, setiap kali doa dititipkan, mereka tahu dunia masih bersama mereka," menurut kenyataan itu.
GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.
Dalam aspek diplomasi, Farah berkata, perkembangan bersejarah turut menyaksikan UK, Kanada dan Australia mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin, diikuti Portugal, manakala Perancis dijangka menyatakan pendirian pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan ini.
Langkah negara berpengaruh itu isyarat jelas perjuangan Palestin yang bukan lagi suara pinggiran, sebaliknya semakin diiktiraf sebagai perjuangan sah untuk kemerdekaan serta keadilan.
"Sebagai delegasi Malaysia dalam GSF, saya merasai sendiri bagaimana sokongan dunia ini diterjemahkan bukan sekadar melalui kenyataan politik, tetapi melalui tindakan nyata. Kapal kemanusiaan yang berlayar ke Gaza adalah simbol keberanian dan keteguhan hati," tambah kenyataan itu.