KUALA LUMPUR, 13 Mac- Satu garis panduan governan dan kod etika AI sedang dibangunkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi mencegah dan meminimumkan risiko negatif yang lahir kesan daripada penyalahgunaan teknologi tersebut.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang memaklumkan selain menjadi panduan dan rujukan kepada pengamal dan pembangun teknologi AI, ia juga merupakan dokumen asas kepada pembangunan perundangan berkaitan AI pada masa hadapan.
"Terkini sesi konsultasi awam telah selesai dilaksanakan dengan Malaysia Productivity Corporation MPC melalui portal United Public Consultation UPC. Dokumen garis panduan telah diedarkan untuk konsultasi awam sehingga 8 Mac 2024.
"Tujuan sesi ini adalah untuk mendapatkan pandangan daripada orang awam ke atas draf dokumen bagi tujuan penambahbaikan garis panduan tersebut sebelum dimuktamadkan,"katanya.
Tambah beliau, dokumen garis panduan dan kod etika berkenaan akan dibentangkan di Kabinet bulan ini sebelum dilancarkan pada April depan.
Katanya, buat masa sekarang pemantauan dan kawalan ke atas teknologi digital seperti AI masih berada bawah akta dan perundangan sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perlindungan Data Peribadi, Akta Transaksi Elektronik dan lain-lain.