fb fb fb fb fb

Garden 8 erat hubungan silaturahim penduduk Taman Perwira

GOMBAK, 14 Disember- Lapan keluarga di Taman Perwira, Gombak Setia berjaya mengindahkan lorong belakang rumah mereka menjadi kebun komuniti

Lorong belakang rumah mereka yang dahulu terbiar dipenuhi semak, kini berwajah baharu dikenali Garden 8.

Garden 8 bukan sahaja indah malah memberi hasil tanaman kepada mereka.

Menurut Ketua Kebun Komuniti Garden 8, Iqmal Fajri Danial, idea mengindahkan kawasan belakang rumah tercetus ketika pandemik COVID-19 dengan modal sebanyak RM15,000.

"Idea ini tercetus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana makanan agak sukar. Kebun komuniti ini mempraktikkan gaya hidup hijau dengan menggunakan sistem pengumpulan air hujan dan mengitar semula sisa makanan rumah serta kebun untuk dijadikan baja kompos. Ia juga menggunakan tenaga solar untuk lampu yang dipasang di kebun ini pada sebelah malam," katanya ketika ditemu bual pemberita di sini.


(Foto Garden8.malaysia)

Iqmal Fajri berkata pelbagai jenis tanaman ditanam antaranya sayur-sayuran, herba dan bunga.

Dengan adanya kebun komuniti ini, ia bukan sahaja mengukuhkan silaturahim antara jiran, malah menjadi tempat mengeluarkan peluh dengan aktiviti berkebun.

Lebih membanggakan, Garden 8 pernah meraih tempat kedua dalam Anugerah Kejiranan Hijau 2021 sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia anjuran Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

Media Baharu