fb fb fb fb fb

Gangguan seksual, majikan disaran pasang CCTV HD - Ahmad Zahid

 (Ahmad Zahid Hamidi)

PUTRAJAYA, 29 Mei- Garis Panduan Pelaksanaan Program Advokasi Antigangguan Seksual (AAGS) dilancarkan ke arah penyediaan persekitaran kerja kondusif dan selamat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merangkumi dua pelan iaitu program advokasi bagi pencegahan gangguan seksual dan program advokasi bagi kesedaran gangguan seksual.

Jelas beliau, pelaksanaannya perlu dipergiat khususnya di peringkat majikan termasuk pemasangan sistem kamera litar tertutup definisi tinggi (CCTV HD) yang boleh digunakan untuk pengecaman wajah, sekali gus sebagai bukti kukuh bagi sebarang pertuduhan yang dibuat.

"Gangguan seksual dilaporkan meningkat setiap tahun. Sebanyak 88% melibatkan mangsa wanita dan 12% mangsa lelaki.

"Pihak kementerian akan turun padang, bukan sahaja memberikan penjelasan tetapi mesti memperlihatkan keberhasilan kempen ini," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Jerayawara Advokasi Antigangguan Seksual di sini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Nancy Shukri berharap program advokasi itu memfokus kepada penggunaan garis panduan berkaitan antigangguan seksual di organisasi kerajaan serta swasta bagi menyediakan persekitaran yang selamat bukan hanya untuk wanita tetapi juga lelaki.

Beliau berkata, kementeriannya melalui Jabatan Pembangunan Wanita akan melaksanakan program itu di premis awam dan tempat kerja di peringkat komuniti sepanjang 2023 di seluruh negara

(Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dan Nancy Shukri (kiri) melancarkan Jerayawara
Advokasi Antigangguan Seksual di Putrajaya)

Media Baharu