ISKANDAR PUTERI, 26 Mei- Sebanyak 15 peratus rebat bil air diberikan oleh Ranhill SAJ Sdn. Bhd. kepada 155,074 akaun pengguna bagi bulan ini, yang terjejas akibat gangguan bekalan air, minggu lalu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, rebat itu melibatkan kategori domestik dan bukan domestik, termasuk kediaman individu, rumah ibadat, institusi kebajikan, premis perniagaan serta industri.
"Saya sedar dan insaf bahawa bantuan ini mungkin tidak setara dengan kesusahan yang dialami oleh mereka yang terkesan. Namun, saya berharap inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas", katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan Persidangan Dewan Negeri Johor ke-15, di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Kerosakan luar jangka pam utama Loji Rawatan Air Sungai Johor menyebabkan gangguan agihan lebih 318 juta liter air terawat sehari, sekali gus menjejas kawasan Johor Bahru dan Iskandar Puteri sejak 20 Mei lalu.