PUTRAJAYA, 26 Mei – Isteri para pemimpin ASEAN diraikan dalam satu program khas, di sini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang sedang berlangsung di ibu negara.
Ketibaan delegasi disambut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Antara yang hadir ialah isteri Presiden Filipina, Louise Araneta Marcos; isteri Perdana Menteri Vietnam, Le Thi Bich Tran; isteri Perdana Menteri Laos, Vandara Siphadone; isteri Perdana Menteri Kemboja, Pich Chanmony; dan isteri Perdana Menteri Singapura, Loo Tze Lui.
Delegasi disambut meriah dengan persembahan muzik tradisional Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Selangor sebelum dibawa melawat ke Galeri Pameran Kraftangan Malaysia.
Pameran tersebut menampilkan demonstrasi pembuatan batik, sulaman tangan benang emas, pembuatan wau, serta keunikan songket dan tenunan hasil sentuhan Yayasan Hasanah.
Rombongan turut dibawa menikmati keindahan dan keunikan orkid yang dipamerkan Perbadanan Putrajaya.
Acara diakhiri dengan sesi makan tengah hari yang dihoskan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah.
Dalam ucapan ringkas beliau, Dr Wan Azizah menekankan peranan penting pasangan pemimpin ASEAN dalam memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan serantau.
Menurut beliau, peranan itu semakin signifikan dalam mempererat hubungan rakyat serantau dan secara tidak langsung menyumbang kepada kestabilan serta keharmonian ASEAN secara keseluruhan.