fb fb fb fb fb

Imunisasi Tdap percuma untuk ibu mengandung mulai hari ini

FOTO HIASAN

PUTRAJAYA, 26 Mei- Kerajaan memulakan pelaksanaan imunisasi percuma vaksin Tdap (Tetanus, Difteria dan acellular Pertussis) untuk ibu mengandung bermula hari ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Vaksin itu ditawarkan kepada ibu hamil yang berada dalam tempoh kehamilan antara 28 hingga 32 minggu, dan boleh diperoleh di semua fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyediakan perkhidmatan ibu dan anak di seluruh negara.

Menurut Dr. Dzulkefly, pemberian vaksin itu penting bagi memberi perlindungan awal kepada bayi baru lahir daripada risiko komplikasi penyakit pertussis atau batuk kokol.

“Vaksin ini terbukti selamat dan berkesan tanpa meningkatkan risiko kepada ibu atau bayi, berdasarkan kajian antarabangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan memandang serius isu penularan penyakit batuk kokol susulan terdapat dua laporan kes penyakit itu pada tahun lalu, termasuk satu kematian.

Sebelum ini, ibu mengandung hanya menerima vaksin tetanus. Namun, inisiatif terbaharu ini melibatkan kombinasi vaksin yang memberikan perlindungan daripada tiga penyakit sekali gus tetanus, difteria dan pertussis.

“Kita tidak mengambil pendekatan untuk mewajibkan vaksin ini, tetapi kerajaan sangat menggalakkan para ibu mengandung untuk mendapatkan suntikan ini demi keselamatan mereka dan bayi yang bakal dilahirkan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Putrajaya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE